10 Langkah Perlu Dilakukan Sekiranya Disahkan Positif Covid-19
COVID-19 menyerang manusia dalam cara yang berbeza. Simptom-simptom virus bagi positif covid-19 ini adalah seperti demam, batuk kering dan keletihan. Bagi warga emas, kanak-kanak dan pengidap penyakit kritikal seperti masalah jantung, diabetes, masalah pernafasan yang kronik, dan kanser adalah berisiko tinggi untuk terkena jangkitan. Simptom serius adalah seperti sukar bernafas atau nafas pendek, sakit dada atau terasa tertekan di bahagian dada dan pergerakan yang terhad.
Jika anda disahkan positif COVID-19 atau merupakan seorang kontak rapat kepada seorang yang telah disahkan menghidapi jangkitan ini, anda wajib melakukan kuarantin untuk mengasingkan individu yang telah terdedah dengan virus ini. Kuarantin 14 hari diwajibkan kerana tempoh pengeraman virus bagi covid-19 ini adalah antara 4-5 hari sehingga 14 hari.
Anda boleh memilih untuk kuarantin di rumah sekiranya mendapat kebenaran, tetapi perlu sentiasa mengemaskini keadaan anda melalui aplikasi mysejahtera. Pihak KKM akan menghubungi anda dari masa ke semasa untuk memastikan anda sentiasa dalam keadaan baik.
Sekiranya anda disahkan positif berdasarkan ujian RTK/PCR di klinik swasta dan ingin ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) berdekatan, anda boleh melakukan tindakan seperti berikut:
1. Tidak perlu panik dan tergesa-gesa untuk ke Pusat Penilaian Covid-19 berdekatan.
2. Pulang ke rumah untuk pemantauan kendiri dan kuarantin.
3. Buat temujanji ke CAC berdekatan melalui pautan yang akan diberi oleh klinik.
4. Kenal pasti kontak rapat dengan mengisi pautan yang diberikan oleh klinik.
5. Kontak rapat anda juga perlu membuat temujanji sekiranya ingin ke CAC berdekatan.
6. Pastikan memilih kategori yang betul semasa membuat temujanji.
7. Hadir ke CAC berdekatan mengikut tarikh dan masa temujanji yang telah dipilih.
8. Pastikan bawa dokumen pengenalan, pen dan keputusan ujian RTK/PCR sekiranya positif.
9. Kenal pasti gejala yang anda hadapi dan beri keterangan yang jelas apabila disoal.
10. Pastikan membawa bekalan minuman atau makanan kerana masa yang diambil ketika di CAC agak lama.
NOTA: Sekiranya keadaan anda semakin serius boleh terus ke hospital bahagian kecemasan atau hubungi 999 dan maklumkan keadaan diri anda sebagai pesakit positif Covid-19.
Tujuan hadir ke CAC berdekatan adalah untuk pemasangan gelang dan penilaian diri oleh pegawai perubatan sama ada perlu ke pusat kuarantin atau kuarantin kendiri di rumah. Selain itu, pesakit akan diberikan surat perintah pengawasan dalam tempoh yang tertentu.
Setelah tamat tempoh perintah pengawasan yang diberikan, anda perlu hadir ke CAC bahagian pemotongan gelang bagi tujuan pelepasan diri dari perintah pengawasan. Setelah itu, anda sudah boleh melakukan aktiviti harian seperti biasa. Akan tetapi, jika anda masih bergejala walaupun selepas tamat tempoh pengawasan, anda masih perlu melakukan kuarantin kendiri bagi mengelakkan jangkitan.